>TUDM dapat bawa keluar 1,800 pelajar sehari


>Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharap dapat melakukan sekurang-kurangnya sembilan penerbangan ulang-alik bagi membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir ke Jeddah menggunakan tiga pesawat C-130 Herculesnya.

Ketua misi Kolonel Abdul Mutalib Wahab berkata setiap pesawat berupaya membawa 200 orang bagi setiap penerbangan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,800 dapat dibawa keluar oleh TUDM setiap hari sehingga operasi selesai.

Bermula hari ini operasi akan berjalan tanpa henti dan ketiga-tiga pesawat akan berlepas dari Jeddah selang sembilan jam setiap hari, katanya.

TUDM berjaya memulakan operasi pertama membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah dan Iskandariah semalam selepas berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk mendapatkan kebenaran mendarat, kata Abdul Mutalib.

Penerbangan sulung TUDM itu berlepas dari Jeddah pada pukul 3.55 petang (waktu tempatan) dan mendarat di Kaherah pada pukul 7 malam (waktu Jeddah) pada Jumaat.

Sejurus mendarat, krew misi ini disambut Duta Malaysia ke Libya, Dzulkepli Mohd Nor yang bertindak selaku penyelaras serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.

Seramai 150 pegawai dan anggota TUDM terlibat dengan misi tersebut.

Sementara itu Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah kini mencapai tahap sepenuhnya dengan sasaran mengangkut sekurang-kurangnya 3,000 orang sehari.

– Bernama

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: