>UMK pemangkin pendidikan, ekonomi rakyat


>BACHOK 4 Feb. – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu diserlahkan sebagai sebuah institusi pengajian awam (IPTA) yang berfungsi menjadi pemangkin pembangunan pendidikan dan ekonomi rakyat negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, bagi mencapai matlamat itu, peruntukan antara RM100 hingga RM200 juta setahun diperlukan bagi pelbagai keperluan pendidikan di universiti berkenaan.

Beliau berkata, perbelanjaan besar itu memerlukan sokongan padu rakyat dengan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini pada pilihan raya akan datang, supaya Kelantan mendapat perhatian dan keistimewaan daripada Kerajaan Pusat.

“Tanpa kuasa politik yang kuat dan negeri terus ditadbir oleh parti pembangkang, memang menghadapi kesukaran untuk Kerajaan Pusat memenuhi keperluan itu.

“Rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan berpolitik jika ingin melihat perubahan dan nikmat pembangunan berlaku,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dengan masyarakat Tionghua dan Thailand sempena perayaan Tahun Baru Cina di Kampung Balai, dekat sini kelmarin.

Majlis itu dihadiri oleh lebih 300 orang masyarakat berkenaan dan pemimpin parti komponen MCA dan Gerakan.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr. Ilias Hussain.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, sehingga ini Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi pembangunan fasa pertama UMK di Kampung Tangok di sini.

Menurutnya, pembinaan bangunan UMK itu hampir siap dan dijangka akan digunakan secara rasmi Julai nanti.

“Kita ingin melihat UMK terus berkembang dan diperluaskan dengan pelbagai fakulti baru dan bilangan pelajar, tenaga pengajar serta kakitangan yang ramai kerana pembangunannya akan memberi impak ekonomi kepada negeri Kelantan khususnya penduduk di Bachok.

“Penduduk tempatan akan dipastikan mendapat peluang pekerjaan di UMK, sekurang-kurangnya sebagai kakitangan dan mereka juga berpeluang menjalankan perniagaan atau perkhidmatan yang diperlukan oleh pelajar universiti berkenaan,” ujarnya

Kata beliau, sehingga kini nilai hartanah di kawasan berkenaan turut melambung tinggi kesan pembinaan UMK.

Awang Adek berkata, perkembangan ini perlu disedari oleh rakyat Kelantan dan menerima hakikat bahawa kerajaan Pas sebenarnya gagal mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi baru bagi memudahkan mereka mencari rezeki.

“Kesilapan lampau dalam memilih kerajaan perlu diperbaiki. Rakyat perlu menilai kesungguhan BN yang sentiasa membela nasib mereka dan melaksanakan pembangunan di negeri ini. Kali ini, rakyat perlu melakukan perubahan,” katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: