>Kelantan Tertinggi Dapat Bantuan Bangunkan Prasekolah Swasta


>

BACHOK, 6 Feb (Bernama) — Kelantan antara negeri tertinggi mendapat bantuan untuk pembangunan prasekolah swasta iaitu membabitkan 124 buah daripada 625 di seluruh negara, tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata kerajaan pusat menerusi Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM124,000 bagi tujuan itu kepada negeri berkenaan.

“Ini tidak termasuk RM150 kepada setiap murid selama tiga bulan dari September sehingga November bagi meringankan beban ibu bapa pelajar terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan murid Prasekolah Swasta peringkat negeri di sini, Ahad.

Awang Adek berkata tiada negara di dunia yang mengeluarkan bantuan secara menyeluruh yang mencakupi semua bidang termasuk pelajaran, pertanian, nelayan dan subsidi barangan perlu seperti negara ini.

Beliau berkata oleh itu semua pihak sepatutnya bersyukur dengan nikmat itu supaya negara terus mencapai kemajuan yang berpanjangan.

Sementara itu bercakap kepada pemberita, Awang Adek berkata pihak prasekolah swasta yang dimiliki oleh parti pembangkang seperti Taski dan Pasti (Pas) boleh memohon bantuan tahunan.

Beliau berkata mereka terlebih dahulu mestilah mendaftar dan mengikut kokurikulum yang ditetapkan oleh kementerian untuk dipertimbangkan bantuan itu.

— BERNAMA

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: