>Mangsa mat rempit langgar lari derita


>
PASIR MAS – Seorang remaja mangsa langgar lari di sini mengalami kesukaran hidup apabila dia bukan sahaja patah kaki akibat kemalangan itu, malah tidak dapat meneruskan pekerjaan akibat kecederaan yang ditanggung sejak Ogos lalu.

Mohd Saddam Hassan, 20, berkata, dia dilanggar lari sekumpulan mat rempit ketika dalam perjalanan pulang daripada kerja, dua hari sebelum Ramadan tahun lalu.

“Akibat kesukaran hidup, saya mengambil upah bekerja kampung selepas waktu persekolahan bagi menampung perbelanjaan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya, kerana dia juga merupakan pesakit jantung dan sudah pun bertolak ke Sarawak dan dijaga keluarganya di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan, dia mengalami patah lima tulang di bahagian peha hingga betis dan menyebabkannya tidak boleh keluar bekerja dalam jangka masa yang masa.

Katanya, dia sekali lagi mengalami kemalangan di rumah sehingga menyebabkan kakinya yang dirawat baru-baru ini patah sekali lagi.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana Skuad Sayang UMNO Bahagian Pasir Mas sudi menziarahinya dan menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan pengajiannya menduduki STPM tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Skuad Sayang, Wan Taniah Wan Yusof berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan kesihatan yang dialami Mohd Saddam.

“Memandangkan dia tidak berupaya mencari pekerjaan tetap, kami berjaya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat keperluan dan perbelanjaan perubatannya sepanjang tahun ini,” katanya.

Wan Taniah berkata, dia berharap bantuan yang diterima akan digunakan dengan sebaiknya dan semua kesukaran hidup yang dialami akan menambahkan lagi semangatnya untuk berjaya pada masa hadapan.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: