>Pemuda lancar Gelombang Merah


>

KOTA BHARU 5 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan hari ini melancarkan program Gelombang Merah Tranformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat untuk menarik kira-kira 400,000 pengundi muda di negeri ini.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian dan Naibnya, Rosmadi Ismail bersama lebih 1,000 ahli pergerakan tersebut di Dewan Besar UMNO Negeri di sini.

Kemuncak program berkenaan ialah karnival Transfomrasi 1Kelantan yang akan diadakan selama dua hari pada April ini.

Sementara itu, Mustapha pada sidang akhbar berkata, sayap UMNO itu perlu berada di barisan hadapan dalam menjelaskan isu-isu yang berbangkit bagi menyedarkan rakyat bahawa mereka telah ditipu oleh Pas sejak 20 tahun lalu.

“Pemuda perlu ada di hadapan, sedarkan rakyat berikan penjelasan mengenai banyak isu seperti Bazar Tok Guru dan bekalan air yang sejak sekian lama tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Hari ini, perubahan sudah kelihatan, ia jelas pada dua pilihan raya kecil di Manek Urai dan Galas, golongan muda yang dahulu menyokong pembangkang pada 2008 telah mula menunjukkan perubahan dan menyokong kita,” katanya.

Mustapa berkata, Gelombang Merah merupakan satu program gerak kerja yang amat penting bagi UMNO Kelantan sepertimana yang dilakukan oleh UMNO Terengganu pada tahun 2004 untuk merampas balik negeri itu daripada Pas.

Katanya, UMNO Kelantan yakin dapat merampas semula negeri ini daripada Pas biarpun ada persepsi bahawa parti itu tidak berpeluang langsung untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

“Persepsi itu bahawa kita tidak berpeluang untuk rampas semula negeri ini tidak benar, pelbagai isu yang menunjukkan masalah yang berlaku dalam Kerajaan Pas Kelantan timbul dan rakyat mulai sedar.

“Sebagai contoh, 412 peniaga kecil mula meluahkan rasa tidak puas hati begitu juga saya bersama Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh telah bertemu dengan Pesatuan Pengusaha Kereta Sewa Kota Bharu yang rata-ratanya ahli Pas, mereka juga meluahkan rasa kecewa,” katanya.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO perlu berpegang kepada tiga perkara utama sekiranya mereka mahu memastikan gerakan itu berjaya.

“Pertama, pemuda perlu berada di hadapan dalam isu berbangkit, dedahkan kepada umum. Kedua, perkhidmatan, sebagai contoh berikan peluang pekerjaan dan ini dilakukan baru-baru ini dan ketiga, program, seperti yang saya lihat banyak bahagian menganjurkan acara sukan untuk menarik golongan muda.

“Saya sendiri akan memantau supaya program ini berjaya dapat mewujudkan gelombang besar untuk membawa perubahan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.