>ADUN Sri Muda dijangka didakwa hari ini


>
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, yang dikecam ramai pihak berikutan tulisan dalam blognya yang dianggap menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pagi ini.

ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Beliau dikatakan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi tulisannya bertajuk `Beraja di mata, bersultan di hati’ dalam blognya pada 30 Disember lalu.
Berikutan tulisan itu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO bangkit mengemukakan bantahan, termasuk membuat laporan polis mengenai tindakan Shuhaimi yang dianggap menderhaka kepada Sultan Selangor.

Khamis lalu, ketika masyarakat Cina meraikan Tahun Baru Cina, Shuhaimi ditahan polis mengikut Akta Hasutan selama 10 minit sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan diminta hadir di mahkamah pagi ini untuk didakwa.

Bagaimanapun, pada hari sama, Shuhaimi menerusi tulisan blognya mengajak rakyat hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini sebagai tanda sokongan kepadanya.

Tindakannya itu mengundang amaran Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang menegaskan polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dan terbabit dalam perhimpunan haram.
Shuhaimi ketika dihubungi sebelum ini berkata, beliau menyerahkan kepada biro guaman parti untuk mengendalikan kesnya kerana menganggap ia itu bermotifkan politik.

Pada 24 Januari lalu, Shuhaimi yang menerima banyak kritikan dan sudah diambil kenyataan oleh polis mengesahkan sudah menghantar surat kepada Istana Selangor bagi memohon perkenan menghadap baginda bagi memohon maaf.

Sekretariat Akhbar, Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa menahan Suhaimi dan mendakwa ia sebagai berat sebelah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi sokongan penuh Suhaimi dan percaya beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan institusi Raja-raja Melayu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, ketika dihubungi berkata, anggota dan pegawainya akan ditempatkan di mahkamah untuk mengawal keadaan dan penyokong Shuhaimi yang datang secara aman serta hanya mahu mengikuti prosiding mahkamah tidak akan dihalang kerana mahkamah adalah kawasan awam.

Bagaimanapun, katanya, tindakan akan diambil terhadap sesiapa saja yang sengaja menimbulkan kekacauan.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: