>BTN, PLKN digesa tekan nilai sejarah


>

KUALA TERENGGANU 6 Feb. – Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) digesa memberi penekanan lebih mendalam berhubung penghayatan sejarah negara dalam usaha menjayakan gagasan 1Malaysia.

Langkah itu dapat membantu meluaskan kefahaman dan memperkukuhkan perpaduan antara kaum ke arah pembentukan satu bangsa Malaysia yang diimpikan.

Gesaan itu adalah antara lima resolusi yang diputuskan dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Sejarah 2011 yang berakhir di sini, semalam demi memartabatkan kepentingan sejarah negara.

Seminar dua hari yang dihadiri lebih 300 peserta turut bersepakat merumuskan lima perkara penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan mengenai kekangan dan cabaran yang dihadapi.

Ia diputuskan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa pandangan negatif tentang sejarah berpunca daripada kegagalan memahami maksud sejarah itu sendiri terutama di kalangan generasi baru.

Pengerusi Jawatankuasa Persidangan, Abdul Rahim Long berkata, di samping itu, semua agensi kerajaan digesa agar lebih bertanggungjawab dalam memperkukuh jati diri pegawai, kakitangan serta masyarakat melalui penekanan kepada mematuhi dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

”Turut diputuskan ialah menyokong usaha dan inisiatif Kementerian Pelajaran mewajibkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.

”Juga menyokong sepenuhnya keputusan Kementerian Pelajaran mensyaratkan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata beliau di sini, hari ini.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: