>PPK terus aktif bantu golongan wanita


>

KOTA BHARU 7 Feb. – Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai oleh isteri-isteri kakitangan kerajaan, terus aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan sosial membabitkan golongan wanita di negeri ini.

Pengerusi PPK, Datuk Tengku Noor Asiah Tengku Ahmad berkata, di awal penubuhannya, 60 tahun lalu, PPK ditubuhkan untuk membantu golongan wanita terutama di kawasan pedalaman supaya mereka dapat berperanan meningkatkan taraf hidup keluarga.

Beliau berkata, antara pendekatan yang diambil oleh PPK ketika itu adalah mengajar wanita bercucuk tanam, penjagaan anak dan hal ehwal berkaitan ekonomi rumah tangga.

Bagaimanapun, katanya, seiring dengan peredaran masa, PKK turut mengalami perubahan dari segi pendekatan dan aktiviti yang dianjurkan membabitkan golongan wanita terutama di kalangan ahlinya.

“Perubahan semasa menyebabkan hanya aktiviti tertentu dapat diadakan akhir-akhir ini. Antaranya, sambutan hari wanita, penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan miskin, majlis sambutan anak kurang upaya dan majlis mengenang jasa wanita yang pernah berbakti kepada keluarga dan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Noor Asiah berkata, PPK akan meneruskan peranannya dalam membantu golongan wanita untuk menjadi ‘pengurus rumah tangga’ yang baik dengan menganjurkan kegiatan yang dianggap relevan kepada golongan berkenaan.

“Antara aktiviti yang digemari oleh wanita adalah bidang masakan misalnya makanan tradisional Kelantan. Banyak resipi yang kurang diketahui ramai dan kami ingin mengajarnya kembali terutama di kalangan ahli PPK,” katanya.

Sementara itu, ahli PPK cawangan Pasir Puteh, Ramlah Awang, 64, berkata, beliau kerap menyertai aktiviti yang dianjurkan kerana ingin berkumpul dan bertukar-tukar pandangan dengan ahli yang lain.

“Dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan, kami juga dapat menyenaraikan program yang sesuai untuk ahli dan melaksanakannya di kalangan penduduk setempat,” katanya.

Bagi Masnah Hamid, 52, dari PPK Pasir Mas pula, banyak aktiviti kebajikan dan ekonomi boleh dilaksanakan di kalangan penduduk kampung apabila menyertai perkumpulan berkenaan.

“Ahli yang pandai memasak boleh menjadi tenaga pengajar dan ini menjadi sumber pendapatan sampingan kepada mereka,” katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: