>Najib Bertemu Ketua-Ketua UMNO Bahagian Sabtu Ini


>

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) — Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua 191 Umno Bahagian Sabtu ini untuk mendapatkan maklum balas dan menyelesaikan isu-isu tertangguh, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa.

Najib akan bertemu ketua bahagian berkenaan secara individu di ibu pejabat parti di Menara Tun Hussein Onn, katanya dan menurutnya perkara itu adalah sebahagian Program Transformasi Politik (PTP).

“Pertemuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik.

Ia bermula (pertemuan beliau) dengan anggota Parlimen (dari Barisan Nasional), kemudian wakil rakyat negeri Sarawak dan kini ketua-ketua Umno bahagian.

“Pertemuan pada Sabtu ini sepatutnya disusuli dengan pertemuan dengan wakil rakyat dari Semenanjung Malaysia pada Ahad tetapi pertemuan pada Ahad telah ditunda,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Tengku Adnan berkata selepas pertemuan dengan ketua-ketua Umno bahagian itu, termasuk dari Sabah, satu pertemuan sedang dirancang bagi semua wakil rakyat BN di Sabah dan dengan semua wakil rakyat di Semenanjung.

“Tarikh bagi dua pertemuan itu masih belum ditetapkan. Ia akan diketahui selepas pertemuan dengan semua ketua pengerusi bahagian parti,” katanya.

Najib yang juga pengerusi BN telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen BN pada 8 Jan dan dengan wakil rakyat BN negeri Sarawak Ahad lepas di Miri.

Kedua-dua pertemuan itu diadakan menerusi kumpulan-kumpulan kecil.

“Ini merupakan kali pertama kami (parti) mempunyai transformasi politik ini. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini merupakan pendekatan baru oleh Perdana Menteri untuk mendapatkan data dan cuba menyelesaikan sebarang isu secara lebih efektif.

“Sudah tentu, beliau telah menerima laporan lebih awal yang diserahkan kepadanya. Tetapi dengan mengadakan pertemuan seumpama itu, ia akan memberikan lebih peluang untuk mendapatkan maklum balas dan memperbaiki atau menyelesaikan sebarang isu,” kata Tengku Adnan.

Beliau menjelaskan pertemuan yang dijadualkan itu bukan petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pertemuan itu sekadar bagi membolehkan Najib menjalankan pelbagai pelan tranformasi yang dirancangnya, katanya.

“Ramai orang membuat spekulasi yang ia ada kaitan dengan pilihan raya umum dan ini tidak benar.

“Daripada segi ekonomi, anda ada Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), dalam kerajaan, anda ada Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) manakala dalam politik, anda ada Pelan Transformasi Politik (PTP),” katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: