>Post title herPerangai Pas Sambut Pelajar “Ops Piramid” Memalukan.


>

KUALA LUMPUR 9 Feb – Wanita UMNO Malaysia kesal dengan sikap serta tindakan parti pembangkang yang cuba mempolitikkan program sambutan kepulangan rakyat Malaysia dari Mesir `Ops Piramid’ di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai landasan politik.

Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar menyifatkan perbuatan penyokong parti pembangkang yang `menangguk di air keroh’ dengan menyalah gunakan program itu untuk tujuan politik.

“Pembangkang seharusnya tidak menyalah guna program sambutan `Ops Piramid’ ini dengan mengambil kesempatan dan menjadikannya sebagai tempat untuk berpolitik. Ini satu perbuatan tidak bermaruah. Kalau nak berpolitik biarlah kena pada tempatnya bukan mengambil kesempatan.

“Program yang dilakukan oleh kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia itu adalah bertujuan untuk membantu rakyat negara ini yang berada di Mesir pulang dengan selamat, tanpa ada sebarang agenda politik.

“Tapi ia sudah disalah guna, perbuatan penyokong Pas itu adalah suatu perbuatan tidak bertanggungjawab yang mengamalkan sikap kepartian tanpa mengira tempat, mereka ini seperti orang yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira tempat atau keadaan asalkan ada peluang,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian selepas menerima laporan berhubung sikap penyokong Pas yang hanya meraikan dan menyambut mereka yang dikenal pasti sebagai penyokong parti berdasarkan senarai nama yang dibekalkan kepada mereka.

Rosni kesal dengan apa yang berlaku dan membidas sikap pembangkang yang tidak tahu berterima kasih di atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membawa rakyat negara ini pulang ke tanah air denganh selamat tanpa mengira kaum dan fahaman politik mereka.

“Sepatutnya kita bersama-sama menyambut dan meraikan kepulangan tanpa mengira siapa sahaja, fahaman politik harus diketepikan , yang penting mereka selamat tiba di tanah air tanpa sebarang masalah.

“Itulah perangai pembangkang, kalau dulu mereka mengutuk dan menuduh kerajaan lambat bertindak untuk membantu dan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir, kini mereka pula yang lebih-lebih dan ambil kesempatan untuk tujuan politik.

“Seharusnya apabila semuanya berjaya dan berjalan lancar, mereka harus mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di atas segala usaha yang dilakukan, bukannya mengambil kesempatan menjadikan program itu sebagai tempat untuk berpolitik,” katanya. -MediaUMNO.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: