>Remaja yatim piatu derita sakit


>

PASIR MAS – “Sudah jatuh, ditimpa tangga”, itulah ungkapan bagi remaja malang di Kampung Kuala Kelar di sini, apabila dia bukan saja kehilangan kedua bapanya, malah dia kini menghidap penyakit buah pinggang, bengkak hati dan paru–paru.

Muhamad Hafiz Bin Mat Suri, 18, berkata, dia tidak mampu untuk berdiri malahan makan pakainya terpaksa diserahkan kepada ibu saudaranya, Fatimah Mat Ail.

“Kedua ibu bapa saya meninggal dunia sejak tiga tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan asma, selepas itu saya dan tiga lagi adik-beradik yang lain bergantung hidup dengan simpati saudara-mara di sini.

“Disebabkan penyakit ini, saya tidak mampu untuk mencari pekerjaan bagi menampung pembelajaran adik-adik yang lain, terutama buat adik ketiga saya adalah orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, ibu saudaranya, Fatimah Mat Ail, 56, berkata, dia adalah pemegang bantuan kebajikan ibu tunggal terpaksa menjaga keperluan Muhamad Hafiz bersama adiknya, dan tiga lagi cucunya yang juga yatim piatu.

“melihatkan kesukaran yang ditanggung Muhamad Hafiz, saya tidak sampai hati meninggalkannya seorang diri di rumah,” katanya.

Fatimah berkata, Muhamad Hafiz baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu, namun keperitan yang ditanggung sebelum ini banyak mengajar mereka sekeluarga erti kesabaran.

Dia berkata, meskipun menghadapi kesakitan, anak saudaranya ini tidak pernah merungut dan putus asa dalam menempuhi kesulitan hidup bagi menyembuhkan penyakitnya.

Sementara itu, hidup malang remaja ini mendapat perhatian daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok, Che Johan Che Pa dengan menyalurkan bantuan perumahan kepada sekeluarga.

“Keperluan mendapatkan bantuan perumahan akan disalurkan secepat mungkin, manakala bantuan lain akan disalurkan kemudian,” katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: