>KPI PKR tidak telus – Choo Keong


>KUALA LUMPUR 23 Feb. – Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dilaksanakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersifat tidak telus dan penuh kerahsiaan hingga satu peringkat keputusannya boleh berubah mengikut kehendak Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, sehubungan itu, beliau tidak hairan dengan laporan awal oleh sebuah portal berita yang menyatakan Timbalan Presiden, Azmin Ali serta enam Wakil Rakyat PKR gagal mencapai KPI sewenang-wenangnya, dinafikan oleh parti berkenaan.

Beliau berkata, sebagai parti milik peribadi Anwar dan konco-konconya boleh melakukan apa sahaja bagi tujuan mengaburi mata rakyat walaupun Penasihat PKR itu sering melaung-laungkan kepentingan mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Bila kerajaan adakan KPI, PKR juga mahu adakan KPI. Kerajaan laksanakan KPI secara terbuka bagi semua rakyat tahu tetapi PKR lain.

‘‘KPI mereka dibuat secara rahsia, tersembunyi dan tidak telus. Mereka hanya buat untuk politik, untuk mengaburi mata rakyat.

“Kata mereka KPI ini hanya untuk pengetahuan pucuk pimpinan. Kalau mereka benar-benar telus umumkan laporan awal mengenai KPI yang dibuat oleh PKR yang mana Azmin telah didapati gagal mencapai KPI ditetapkan,’’ katanya di pejabat konsensus bebas di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian oleh PKR mengenai adanya KPI terhadap Azmin dan enam lagi pemimpin parti itu seperti mana disiarkan oleh sebuah portal berita semalam.

Sebelum itu, portal yang sama menyiarkan berita mengenai laporan sebuah jawatankuasa khas mengenai kegagalan Azmin serta enam Ahli Parlimen PKR berkenaan mencapai KPI yang telah ditetapkan.

Jawatankuasa khas tersebut diketuai oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Nik Mahmood Nik Hassan.

Mengulas lanjut Choo Keong percaya dalam apa jua keadaan sekalipun, PKR tidak akan sesekali mendedahkan laporan KPI itu kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau mencabar PKR menetapkan KPI tertentu terhadap Anwar bagi menentukan sejauh mana keberkesanannya sebagai seorang pemimpin.

“Selain KPI sebagai pemimpin, Anwar juga harus menjalani proses KPI sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Kita mahu tanya apa pencapaian ekonomi Selangor setakat ini.

“Berapa bilion pelaburan yang dibawa ke Selangor. Perkara-perkara ini perlu dijadikan ukuran sejauh mana Anwar sebagai pemimpin dan Penasihat Kerajaan Selangor,’’ katanya lagi.

KPI juga katanya, perlu dilakukan terhadap sistem pemilihan parti itu pada tahun lalu kerana ramai di kalangan ahli serta pemimpin parti mendakwa perjalanannya tidak mengikut peraturan.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan PKR menetapkan KPI kepada semua bekas wakil rakyat PKR termasuk dirinya.

“Kami tidak ada kena-mengena lagi dengan PKR. Kami wakil rakyat Bebas. Oleh itu jangan libatkan kami dalam urusan PKR sama ada secara langsung atau tidak langsung,’’ katanya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: