>Najib dan pemimpin PAS setuju Anuwar terpesong akidah


>

Anwar Ibrahim terlalu taksub dengan agenda populisnya sehinggakan sanggup berbuat apa saja biarpun perkara yang dibuatnya ternyata salah dan bertentangan dengan agama, kata Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek.

Katanya, tindakan ketua pembangkang itu memperlekehkan ingatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat berwaspada dengan fahaman pluralisme kerana ia merupakan ancaman baru kepada umat Islam di negara ini adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Agenda Anwar adalah untuk mendapatkan populariti daripada kenyataan Perdana Menteri iaitu bersikap membangkang setiap apa yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) tanpa menyelidik atau menilai terlebih dahulu hal-hal yang tidak dipersetujuinya,” katanya kepada UMNO-Online.

Tegasnya, pluralisme tidak sepatutnya wujud dalam pemikiran rakyat khususnya di kalangan umat Islam kerana ia sangat bertentangan dengan ajaran serta akidah Islam tetapi yang ternyata Anwar sengaja mempersendakannya.

“Keghairahan Anwar adalah untuk membangkang apa saja yang diperkatakan, dibuat dan dilaksanakan oleh kerajaan kerana dia mahukan dirinya sentiasa diingati rakyat biarpun dalam keadaan yang bertentangan dengan Islam,” katanya.

Dalam masa yang sama Abdul Halim yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) melihat suara Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang turut menegaskan, larangan amalan pluralisme tidak terbatas kepada sesiapa saja atau mereka yang mendukung fahaman tersebut, tidak terkecuali Anwar Ibrahim.

“Akhirnya sekutu Anwar dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu PKR, Pas dan Dap bersuara setelah terlalu banyak penyimpangan oleh Anwar dibuat,” ujarnya.

Para pemimpin Pas sebelum ini berdiam diri dalam pelbagai isu membabitkan Anwar dan hal-hal berkaitan Islam yang menjadi bahan politik.

“Tindakan ini jelas membuktikan ketidaksefahaman dan tidak sehaluan golongan pembangkang biarpun selama ini mereka cuba menutupnya dengan pelbagai sandiwara,” ujarnya.

Terang beliau lagi, kenyataan Harun tersebut secara tidak langsung menyokong hujah Perdana Menteri berkaitan penolakan terhadap pluralisme yang menyamakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain.

“Bermakna bahawa apa yang dibuat oleh Datuk Seri Najib adalah tepat biarpun secara dasarnya Datuk Harun tidak menyatakan secara terbuka tetapi beliau menyokong prinsip dan falsafah yang diperjuangkan oleh BN dan UMNO.

“Justeru, beliau juga tentunya bersetuju dengan tindakan kerajaan yang menyeru rakyat berhati-hati mengenai ancaman fahaman tersebut.”

Namun demikian katanya, tindakan Anwar yang gagal mengambil serius hal-hal sedemikian menunjukkan sikapnya yang tidak berpendirian dan gagal memperlihatkan kebertanggungjawabannya sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Sewajarnya, Anwar sebagai ketua pembangkang tahu apa yang patut dibangkangnya dan bukan bersifat negatif terhadap semua perkara yang dilaungkan oleh Perdana Menteri,” ujarnya yang merujuk kepada ahli-ahli pembangkang di Amerika dan Britain yang matang dan dapat mengamalkan toleransi dengan kerajaan dalam hal-hal membabitkan kebersamaan dan keperluan rakyat.

“Malangnya pembangkang di sini tidak sampai ke tahap itu dan Anwar gagal untuk memperlihatkan dirinya sebagai ahli parlimen yang konstruktif kerana sentiasa mahu membangkang.”

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan dan melakukan siasatan rapi berhubung fahaman pluralisme selain sejauhmana penglibatan pihak yang membela aliran tersebut. – MediaUMNO

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: