>PRK Merlimau: Perkasa Melaka Buat Laporan Polis Berkaitan Risalah Hasutan


>

Ahli Perkasa menunjukkan risalah yang terdapat logo Perkasa Melaka dan latar belakang pertubuhan itu yang disebarkan secara meluas dengan mensasarkan kaum Cina.

JASIN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka membuat laporan polis berikutan penyebaraan risalah berbaur hasutan yang menggunakan logo pertubuhan itu.

Laporan berkenaan dibuat oleh Yang Dipertua Perkasa Melaka, Abd. Rahim Osman bersama Pengerusi Perkasa Jasin, Jalani Amit di Balai Polis Merlimau, di sini pada pukul 1 petang Khamis.

Menurut Abd Rahim, pihaknya dimaklumkan pada pukul 11.15 malam Rabu bahawa ribuan risalah terbabit disebarkan di beberapa taman perumahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bagi menimbulkan kemarahan pengundi di sini khususnya kaum Cina.

Katanya, terdapat logo Perkasa Melaka dan latar belakang pertubuhan itu pada risalah yang disebarkan secara meluas dengan mensasarkan kaum Cina.

“Perkasa Melaka menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan kegiatan tidak bertanggungjawab itu. Laporan polis yang dibuat hari ini adalah bagi membersihkan nama kami.

“Kami mahu polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di sini.

Pada risalah itu tercatat Artikel 153 Perlembagaan berkaitan Yang di-Pertuan Agong, hak keistimewaan Melayu dan bumiputera.

Paling ketara ialah ayat “Cina khianat negara” yang seolah-olah bertujuan menimbulkan rasa kurang senang pengundi Cina terhadap Perkasa.

Abdul Rahim memberitahu, risalah-risalah berkenaan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan perumahan seperti Taman Muhibbah, Taman Merlimau Baru, Taman Debunga, Taman Seri Merlimau dan Taman Deretan.

Beliau menambah, pihak-pihak tertentu yang dipercayai ada kaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) kali ini yang melakukannya dengan bermotifkan politik dan berniat jahat.

Katanya lagi, ia juga bertujuan membangkitkan kemarahan kaum bukan Melayu untuk mebenci Perkasa dan Barisan Nasional (BN) sekali gus meraih undi mereka pada PRK DUN Merlimau.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertubuhan itu tidak pernah berkempen untuk mana-mana parti politik.

Objektif mereka, katanya, jelas mempertahankan kedaulatan undang-udang dan Perlembagaan negara.

“Sikap kita ialah berbaik-baik dengan semua pihak demi perpaduan dan keharmonian kaum-kaum di Malaysia,” jelasnya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: