>Roslan Pemimpin Mesra Rakyat, Dikenali Ramai Di DUN Merlimau


>Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau Roslan Ahmad, seorang pemimpin yang mesra rakyat dan beliau dikenali ramai terutama penduduk di DUN Merlimau.

Pengerusi MIC Melaka Datuk R. Perumal berkata Roslan, 44, seorang yang mudah untuk didekati dan anak muda itu boleh bergaul dengan semua kaum.

“Masyarakat India memang suka pada Roslan, mereka sudah lama mengenali beliau,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Roslan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac depan.

Roslan yang berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan dari Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) dan kini bertugas sebagai Pengurus di Bahagian Pembangunan Bisnes dan Sosio-Ekonomi di Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd (PMHSB), anak syarikat kerajaan negeri Melaka.

Perumal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri, berkata beliau sudah lama mengenali Roslan yang banyak membantu masyarakat melalui PMHSB.

Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata masyarakat Tionghua khususnya di DUN Merlimau akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Roslan untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut.

“Roslan seorang pemuda dan pemimpin yang dinamik dan beliau rajin bekerja,” katanya dengan menambah Roslan sememangnya popular di kalangan masyarakat Cina di DUN Merlimau.

Gan berkata Roslan memiliki pengalaman dalam politik dan pengurusan perniagaan akan memudahkan beliau membangunkan kawasan DUN Merlimau apabila dipilih sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata Roslan seorang yang disenangi rakyat di DUN Merlimau dan ini mengukuhkan lagi usaha BN memenangi pilihan raya kecil itu.

Ahmad yang juga Ketua Umno bahagian Jasin berkata beliau mengenali Roslan sejak calon BN itu memegang jawatan Ketua Pemuda Umno cawangan Merlimau pada 1998 hingga kini menjawat jawatan Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin.

“Anak jati Merlimau itu sentiasa menunjukkan komitmen yang cemerlang dalam setiap tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Beliau juga mempunyai latar belakang yang baik hasil didikan bapa beliau,” katanya.

Beliau berkata sebagai ‘orang muda’ Roslan mempunyai potensi yang cukup besar untuk meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu dan berharap sekiranya terpilih Roslan dapat meneruskan usaha Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dalam membela nasib masyarakat di DUN Merlimau.

Seorang warga emas, Mohd Yusof Abas, 71, berkata beliau amat mengenali Roslan sejak bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin menjadi Anggota DUN Sungai Rambai bermula 1969 hingga 1978.

“Roslan merupakan seorang yang rajin, hormat orang tua dan selalu bertanya khabar kepada penduduk di kawasan saya di Chinchin. Pada saya dia merupakan calon terbaik,” katanya.

J Francisca, 44, seorang pemilik kedai runcit di Bandar Baru Merlimau berkata pemilihan Roslan adalah pemilihan paling tepat untuk penduduk Merlimau.

“Saya percaya pada beliau, beliau boleh bela nasib penduduk kita di sini. Dengan beliau jadi calon BN saya yakin dia boleh beri kemenangan kepada BN di sini,” katanya.

Liew Chee Lian, 26, berkata Roslan merupakan individu yang cukup dikenali di Merlimau dan pemilihan Roslan cukup disenangi oleh penduduk kawasan itu.

“Dia orang muda, saya rasa dia boleh beri nafas baru kepada Merlimau, boleh bawa Merlimau jadi lagi maju daripada sekarang,” katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Mohamad Hidhir pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Feb ini.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: