SKIM RUMAH PERTAMAKU PAMER KEJAYAAN PM!!


 

Kalau dulu golongan muda yang berpendapatan RM3,000 ke bawah selalu garu kepala bila memikirkan bab nak beli rumah.Halangan terbesar biasanya ialah soal wang pendahuluan pinjaman perumahan 10 peratus. Kini mereka boleh masuk ke lebih daripada 20 institusi kewangan untuk mendapat pinjaman 100 peratus untuk membeli rumah.

Ini berikutan pelancaran Skim Rumah Pertamaku petang Selasa yang membolehkan mereka mendapat pinjaman 100 peratus membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkannya di PWTC berkata skim itu yang merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan, dilaksanakan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.

“Ini juga akan membantu golongan muda di Malaysia memiliki rumah pertama mereka dengan cepat,” katanya. Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, sebulan boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun.

“Ini bermakna, kerajaan, melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahulan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut. Diharapkan skim ini juga akan menggalakkan pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia,” kata Najib.

Bank yang terlibat ialah Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Alliance Islamic Bank Malaysia Bhd, AmBank Bhd, AmIslamic Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, EON Bank Bhd, EONCAP Islamic Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd. Maybank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, OCBC Bank Malaysia Bhd, OCBC Al Amin Bhd, Public Bank Bhd, Public Islamic Bank Bhd, RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd, United Overseas Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan Cagamas Bhd (CSC Department).

Ketika pembentangan bajet 2011, tahun lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM568 juta untuk membina 300 unit menerusi Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit menerusi Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit dalam Projek Bantuan Rumah Sewa.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta disediakan, khususnya untuk membantu pekerja estet miliki rumah dalam Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah,” kata Najib. Perdana Menteri meminta agar semua institusi kewangan yang terlibat di bawah Skim Rumah Pertamaku mempermudahkan segala urusan pembiayaan bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

“Saya amat berharap bahawa segala urusan berhubung dengan skim ini dipermudahkan oleh institusi kewangan dan bukan sebaliknya. Mungkin skim ini tidak boleh memberi keuntungan yang besar kepada institusi kewangan tapi ini merupakan satu skim yang amat-amat bermakna kepada rakyat Malaysia,” katanya. Najib turut mempelawa bank-bank yang belum menyertai skim ini supaya melibatkan diri dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dengan sepenuhnya.

  1. No trackbacks yet.

You must be logged in to post a comment.
%d bloggers like this: