Archive for February 16th, 2011

>DUN Sarawak Tidak Akan Dibubarkan Minggu Ini, Kata Taib


>Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Selasa berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan minggu ini untuk memberi laluan bagi pilihan raya negeri.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata adalah tidak benar yang beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, yang penggalnya tamat pada Julai ini.

“Saya tidak tahu. Orang-orang ini boleh mereka-reka berita mengikut sesuka hati mereka tetapi saya tidak dapat sahkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam satu portal berita semalam yang memetik satu sumber di Astana Sarawak yang menyatakan telah dihubungi Pejabat Ketua Menteri pada minggu lepas untuk menetapkan 18 Feb sebagai tarikh perjumpaan dengan ketua negeri bagi tujuan itu.

“Berita adalah berita. Betul atau tidak betul, lihat dulu lah,” kata Taib, yang juga menafikan yang beliau telah menghubungi Abang Muhammad Salahuddin semalam kerana seharian beliau tidak berada di pejabat kerana menghadiri mesyuarat jawatankuasa perancang.

Sementara itu, Taib, yang akan genap 30 tahun memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 26 Mac, dijadual menyampaikan ucaptama di Konvensyen BN Sarawak di sini pada 5 Mac yang akan dihadiri 5,000 perwakilan dari semua parti komponen BN negeri.

BN kini menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Taib mempunyai 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) 12 dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Enam lagi baki kerusi dikuasai oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), melalui wakil rakyat Bebas, masing-masing satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya disyaratkan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

>Dua Wanita Antara Enam Yang Dicadangkan Umno Kuala Krau Untuk DUN Kerdau


>Dua wanita adalah antara enam nama yang dicadangkan oleh Umno Kuala Krau untuk dipilih pucuk pimpinan parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Ketua Umno Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata senarai itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Perhubungan Umno Pahang dalam tempoh yang terdekat.

“Kita akan menemui Menteri Besar untuk membincangkan calon yang layak bertanding nanti dan kita akan akur dengan calon yang bakal dipilih itu,” katanya kepada pemberita, pada hari Selasa.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Bahagian itu, berkata antara lain mesyuarat tersebut membincangkan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.

Kerusi DUN Kerdau kosong selepas penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang mewakili BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Zaharuddin, 64, menewaskan calon PAS Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

DUN Kerdau mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 3.6 peratus atau 455 pengundi Cina, 3.4 peratus atau 300 pemilih India dan 2.98 peratus atau 260 orang daripada lain-lain kaum.

>Rakyat Perlu Kikis Sikap Curiga Satu Sama Lain Untuk Pupuk Perpaduan, Titah Agong


>Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah setiap rakyat Malaysia haruslah mengikis sikap curiga mencurigai antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat.

Baginda bertitah sentimen perkauman yang sempit mestilah dibanteras daripada awal sebelum ia membarah dalam masyarakat.

“Bersamalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman. Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan yang sementara,” titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini Selasa.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana sambutan Maulidur Rasul memberi makna tersendiri kepada seluruh umat Islam dan bersama membuktikan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan seterusnya menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah bagi menegakkan Islam yang tercinta.

Baginda bertitah nilai-nilai murni yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W telah membawa panduan kehidupan yang baik untuk diikuti serta mampu menyatukan seluruh umat manusia sekiranya semua pihak ikhlas berbuat demikian.

“Contohnya dalam kepimpinan keluarga, baginda merupakan contoh teladan yang terbaik. Baginda mampu memperlihatkan akhlak yang sangat terpuji sebelum diangkat menjadi Rasul.

“Akhlak baginda bukan sahaja cemerlang dalam hubungan dengan Allah S.W.T tetapi juga amat indah dalam hubungan sesama manusia,” titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah jasa dan sumbangan Rasulullah sewajarnya dihargai seluruh umat Islam dengan mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh.

Hanya dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar akan menghasilkan natijah yang terbaik sama ada di dunia mahupun akhirat, titah Seri Paduka.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini Tuanku Mizan menyeru seluruh umat Islam agar terus berusaha mempertingkatkan pencapaian yang dimiliki sekarang supaya umat dan negara terus cemerlang.

Titah baginda sebagai seorang Muslim yang cintakan Rasulullah S.A.W, seharusnya hari ini iaitu 12 Rabiulawal yang merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, harus menjadi hari yang paling menggembirkan umat Islam.

“Oleh yang demikian wajarlah setiap individu memahami dan menjiwai semangat sambutan ini dengan bersungguh-sungguh,” titah baginda.

Terdahulu sebanyak 114 kontinjen dengan 10,315 peserta terdiri daripada kontinjen kerajaan, badan berkanun, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan sekolah menyertai perhimpunan sambutan Maulidur Rasul.

Mereka berarak sejauh 2.4km sambil berselawat dari Dataran Putra sehingga ke Qiblat Walk di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

>Siapa Anwar (Siri 8)


>

>Siapa Anwar (Siri 7)


>

>Siapa Anwar (Siri 6)


>

>Anwar Ibrahim, Siapa Anwar? vol 5


>

>Anwar Ibrahim, Siapa Anwar? vol 4


>

>Anwar Ibrahim, Siapa Anwar? vol 3


>

>Anwar Ibrahim, Siapa Anwar? vol 2


>